22 May
Langkah-langkah mengatasi masalah vandalisme dalam kalangan pelajar

Saban hari, kita sering mendengar isu remaja yang tidak pernah habis diperkatakan. Tidak kurang juga berita-berita mengenai salah laku oleh remaja yang tidak pernah lekang di dada-dada akhbar tempatan dan media elektronik hampir pada setiap hari. Boleh dikatakan remaja merupakan batu permata iaitu pemacu atau pencorak kemajuan negara pada masa hadapan kelak. Mereka sering melakukan kesalahan yang melibatkan kemusnahan harta benda awam yang boleh diringkaskan dengan perkataan ‘vandalisme’. Jika isu ini tidak di bendung, hal ini akan memberikan kesan buruk kepada semua pihak sama ada kepada negara, masyarakat malah individu itu sendiri.

                    Antara langkah-langkah bagi mengatasi masalah vandalisme dalam kalangan pelajar ialah ibu bapa harus memainkan peranan penting dalam membendung masalah vandalisme ini. Mereka perlu memantau kegiatan anak-anak mereka supaya tidak terjerumus ke dalam kancah yang negatif. Bukan itu sahaja, malah pergaulan anak-anak juga patut diawasi agar tidak melakukan kesilapan dalam memilih rakan. Lebih-lebih lagi, ibu bapa harus menyemai ilmu keagamaan dalam diri anak-anak sejak kecil lagi kerana sesungguhnya, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Hal ini demikian kerana ilmu keagamaan mampu menjadi benteng utama dalam menghalang generasi muda daripada terpengaruh dengan anasir-anasir negatif seperti kegiatan vandalisme. Jika ibu bapa melaksanakan peranan mereka dengan sempurna, pasti masalah vandalisme dapat diatasi dengan mudah.

                  Selain itu, masyarakat juga perlu memainkan tanggungjawab mereka demi menangani masalah vandalisme dalam kalangan pelajar. Sebagai seorang ahli masyarakat, kita harus peka terhadap situasi di sekeliling kita. Contohnya, jika terlihat perlakuan vandalisme, kita patut melaporkannya kepada pihak berkuasa. Pendek kata, kita tidak patut bersikap seperti enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing. Maka, sekiranya masyarakat bersikap proaktif, pasti kegiatan vandalisme mampu dikurangkan.

                  Seterusnya, pihak media massa juga perlu memainkan peranan yang penting dalam mengatasi masalah vandalisme dalam kalangan pelajar. Misalnya, menyiarkan kisah mengenai kesan-kesan vandalisme kepada negara dan masyarakat sama ada dalam animasi ataupun lakonan manusia di kaca televisyen. Hal ini kerana kebanyakan masyarakat lebih gemar menonton siaran di televisyen berbanding membaca berita di akhbar. Melalui ini sedikit sebanyak dapat memberi pengetahuan dan kesedaran masyarakat mengenai kesan negatif vandalisme dan cara mengatasinya.

                 Selanjutnya, penguatkuasaan dan pelaksanaan undang-undang perlu dijalankan oleh pihak berkenaan. Di bawah Akta Kerajaan Tempatan 9 Undang-Undang Kecil Vandalisme1991, sesiapa yang didapati merosakkan harta benda awam boleh didenda membabitkan RM 2,000 atau penjara tidak lebih setahun jika sabit kesalahan. Pelaksanaan undang-undang baru menetapkan pesalah-pesalah vandalisme menjalankan kerja-kerja khidmat masyarakat dan mereka juga akan menggunakan pakaian seragam pesalah vandalisme. kerja ini dilakukan di tempat awam seperti pusat membeli-belah. Melalui tindakan yang dikenakan kepada pesalah akan menjadi teladan kepada remaja-remaja yang lain.

                  Akhir sekali, pihak sekolah patut melaksanakan peraturan sekolah secara lebih tegas terhadap pelajar. Mereka harus mendenda pelajar yang melakukan vandalisme di dalam kawasan sekolah. Misalnya, pelajar yang terlibat dengan vandalisme perlu dirotan atau dikenakan hukuman gantung sekolah. Tindakan ini dapat menginsafkan pelajar yang terlibat dan mampu menjadi pengajaran kepada pelajar-pelajar yang lain. Pihak sekolah juga harus membuang sikap pilih kasih semasa mengenakan tindakan terhadap pelajar yang terlibat dengan vandalisme. Langkah ini bukan sahaja mampu menangani masalah vandalisme, tetapi turut dapat mengurangkan masalah-masalah disiplin yang lain.

               Kesimpulannya, sememangnya terdapat pelbagai langkah yang boleh dilaksanakan untuk menangani masalah vandalisme dalam kalangan pelajar. Oleh sebab itu, semua pihak, terutamanya ibu bapa, masyarakat, pihak kerajaan dan pihak sekolah harus berganding bahu dan melaksanakan obligasi masing-masing demi mengurangkan gejala yang semakin serius ini. Jika hasrat tersebut berjaya dilaksanakan, tidak mustahil negara kita dapat berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan negara-negara maju. Semoga dengan penyelesaian masalah ini, negara kita mampu merealisasikan Wawasan 2020 dan terkenal di seantero dunia.

Antara gambar vandalisme

Video vandalisme


Comments
* The email will not be published on the website.
I BUILT MY SITE FOR FREE USING